KUALA LUMPUR, 6 November – Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan supaya Malaysia menjadi pengantara dalam usaha perdamaian konflik di Sudan.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata perkara itu perlu diperhalusi memandangkan konflik berkenaan turut memberi kesan terhadap kepentingan Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai pengalaman dalam usaha mendamaikan konflik, termasuk sebagai fasilitator rundingan damai antara Thailand dan Kemboja pada Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini.
“Ini juga menjadi keutamaan kita untuk melihat rantau itu kembali aman. Kita punya kepentingan (pelaburan) yang begitu besar di Sudan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli ketika sesi perbahasan berhubung kedudukan dan hubungan baik Malaysia dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memimpin inisiatif keamanan bagi Sudan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM74 juta bantuan kemanusiaan kepada Palestin menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini turut mengumumkan tambahan bantuan RM100 juta bagi usaha kemanusiaan dan pembangunan semula Gaza.

