JOHANNESBURG, 23 November – Tindakan tegas perlu diwujudkan dengan menumpukan kepada pelaburan antisipatori atau proaktif, pragmatisme teknologi serta mempercepat penerimagunaan bagi menangani perubahan iklim.
- Tekankan pelaburan antisipatori/proaktif untuk lindungi nyawa, pendapatan dan kestabilan serantau daripada risiko iklim.
- Pragmatisme teknologi ditekankan sebagai kunci mempercepat penerimagunaan penyelesaian iklim.
- Asia Tenggara mengalami impak bencana besar; tekanan iklim memperburuk kesan dan pemulihan.
- Kerjasama serantau seperti Pusat AHA ASEAN penting dalam sistem respons bencana yang menyeluruh.
Berucap di pentas Sidang Kemuncak Pemimpin G20, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pendekatan berkenaan penting untuk melindungi nyawa, punca pendapatan serta kestabilan serantau di dunia yang semakin dibentuk oleh risiko iklim dan bencana.
Mengambil contoh Asia Tenggara, beliau berkata rantau itu kekal sebagai antara pusat bencana dunia dengan hampir separuh daripada jumlah kematian akibat bencana di peringkat global serta kerugian ekonomi melebihi AS$4.4 bilion.
“Bukan semua kejadian itu disebabkan oleh perubahan iklim, namun peningkatan tekanan iklim menjadikan impaknya lebih ketara serta melemahkan proses pemulihan,” kata beliau.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara pada sesi intervensi Sesi 2: Dunia yang Berdaya Tahan – Sumbangan G20, yang merangkumi pengurangan risiko bencana, perubahan iklim, peralihan tenaga yang saksama dan sistem makanan.
Bersuara atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, beliau berkata rantau ini telah mengambil iktibar bahawa daya tahan bergantung kepada pelaburan antisipatori atau proaktif.
“Atas alasan inilah, rantau kita telah membangunkan salah satu sistem respons bencana paling aktif di negara membangun menerusi Pusat Penyelarasan ASEAN Bantuan Kemanusiaan (Pusat AHA).
“Oleh itu, adalah penting untuk mempunyai pendekatan lebih meluas dan pelbagai bagi tindakan iklim,” katanya.

