Malaysia tonjol kepimpinan ekonomi serantau, kurangkan tekanan perang tarif AS-China

KUALA LUMPUR 30 Oktober– Kejayaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menunjukkan keupayaan Malaysia mengimbangi kepentingan ekonomi antara kuasa besar dunia, Amerika Syarikat dan China bagi mengekalkan kestabilan dagangan dan pelaburan rantau ini.

Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan & Politik UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, keberanian Malaysia memacu rundingan ekonomi di peringkat ASEAN membuktikan kemampuan negara menjadi pemangkin diplomasi ekonomi serantau, khususnya dalam konteks perang tarif antara Amerika Syarikat dan China.

“ASEAN perlu memastikan tidak terperangkap dalam perang tarif antara Amerika Syarikat dan China. Malaysia berjaya memainkan peranan penting dengan memastikan tarif dagangan dikurangkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus merupakan satu kejayaan besar untuk rantau ini,”katanya.

Tambah beliau, langkah Malaysia memendekkan tempoh rundingan dengan Washington bukan sahaja mengurangkan tekanan tarif, malah memberi ruang fleksibiliti kepada negara-negara ASEAN untuk menentukan hala tuju ekonomi masing-masing.

Dalam masa sama, Malaysia turut menonjol sebagai pemimpin serantau dalam diplomasi ekonomi apabila berjaya menggerakkan pelbagai perjanjian dagangan utama termasuk RCEP dan ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA), yang membuka peluang pasaran lebih luas kepada pelabur asing.

“Perjanjian ini harus dilihat sebagai kejayaan Malaysia menundukkan tekanan tarif AS dan pada masa sama memastikan kepentingan ekonomi tempatan, termasuk sektor nadir bumi dan pelaburan Bumiputera, terus terpelihara.”

Strategi Malaysia yang berpendekatan neutral membolehkan ASEAN kekal sebagai blok ekonomi terbuka, sekali gus mengukuhkan kedudukan rantau ini dalam blok dagangan global bersama Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.

Dr Noor Nirwandy menyifatkan kejayaan Malaysia dalam diplomasi ekonomi ini sebagai asas penting ke arah merealisasikan Wawasan ASEAN 2045, menjadikan rantau ini lebih makmur, berdaya tahan dan berpengaruh di pentas dunia.

Hey there! Ask me anything!