KUALA LUMPUR, 8 Disember – Tempoh rayuan matrikulasi kini dipendekkan daripada 12 hari kepada hanya lima hari.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata kejayaan berkenaan adalah hasil daripada usaha reformasi KPM dalam mengurangkan karenah birokrasi selain mempercepatkan urusan pelajar, ibu bapa serta warga pendidik.
“Setiap kali kita duduk bermesyuarat dengan pengurusan tertinggi, kita sentiasa mencari ruang untuk memudahkan dan meringkaskan urusan. Dengan memperkenalkan sistem yang sesuai, banyak proses dapat dipercepatkan dan ditambah baik.
“Sebagai contoh tadi, permohonan rayuan matrikulasi yang dahulu mengambil 12 hari kini dapat disingkatkan kepada hanya 5 hari. Ada perkara yang boleh dijalankan secara selari, ada yang wajar dimansuhkan, dan ada juga yang perlu diwujudkan semula. Semua ini kita lakukan dengan satu tujuan iaitu memastikan anak-anak kita mendapat peluang yang terbaik, ujarnya ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di sini hari ini.
Beliau turut menekankan komitmen KPM terhadap pendidikan inklusif, dengan memastikan murid berkeperluan khas mendapat peluang sama rata melalui penyediaan fasiliti khusus di seluruh negara, serta kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan antarabangsa.
Selain itu, sesi libat urus bersama guru, pentadbir dan pelajar terus diperkukuh bagi mendapatkan maklum balas sebenar dari lapangan agar setiap penambahbaikan yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan semasa.
Dr. Aminuddin menegaskan usaha reformasi pendidikan yang dijalankan KPM adalah untuk memastikan tiada murid yang tercicir dalam sistem pendidikan negara.