ROMPIN, 3 Disember – Mayat pasangan suami isteri yang dikhuatiri lemas selepas kereta yang mereka naiki dilaporkan terjunam dan tenggelam di Sungai Rompin, berhampiran Kampung Rantau Panjang, Kuala Rompin semalam, ditemukan hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi dalam satu kenyataan mengesahkan, pasukan penyelamat menemukan mayat Mohd Zairil Bidin, 40 tahun bersama isterinya Nur Aisyah Shafie, 55 tahun di dalam kenderaan tersebut kira-kira 2.50 petang.
Dengan penemuan tersebut, operasi yang disertai antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung ditamatkan pada 3.11 petang.
“Kertas siasatan Orang Hilang telah diklasifikasikan semula sebagai mati mengejut (SDR) dan operasi mencari dan menyelamat juga sudah ditamatkan, hari ini”, katanya.
Sementara itu mayat kedua-dua mangsa yang beralamat di Felda Keratong 3, itu dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan punca kemalangan masih dalam siasatan.