WANG KELIAN, 23 November – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli hari ini melawat pusat transit sementara di Masjid Nurul Husna, Wang Kelian susulan banjir yang melanda kawasan berkenaan.
Seramai 120 penduduk daripada 40 keluarga kini ditempatkan di pusat transit tersebut selepas hujan lebat sejak malam semalam berterusan sehingga pagi tadi, menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air.
Menurut Mohd Shukri, penduduk terjejas dari Kampung Wang Kelian akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Lubuk Sireh sebaik laluan utama dapat dibuka.
Bagaimanapun, proses pemindahan mengalami kelewatan berikutan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang yang menghalang laluan dari Kampung Wang Kelian ke sekolah berkenaan.
“Wang Kelian ini adalah kawasan pertama yang terjejas. Mengikut data meteorologi, hujan semalam mencatatkan 106 milimeter, agak lebat. Semua sungai di Perlis kini berada pada paras bahaya. Jadi penduduk di kawasan yang selalu terjejas banjir diminta bersiap sedia. Kawasan pertama yang kita lihat terjejas ialah di Wang Kelian. Sekarang kita berada di Masjid Nurul Husna,” katanya.
Setakat ini, tiga PPS telah diaktifkan di sekitar Padang Besar iaitu di SK Lubuk Sireh, SK Titi Tinggi dan SK Felda Mata Ayer.
Sementara itu, tujuh laluan utama di Padang Besar turut ditutup akibat banjir, melibatkan Jalan Kaki Bukit Batu 16, Simpang Tiga Kok Mak, Jalan menuju Wang Kelian, Jalan Kampung Chantek, Jalan Titi Tinggi, Jalan Gua Kelam serta Jalan Kangar–Padang Besar berhampiran Agrovet Perlis.
Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasukan sukarelawan kini giat membantu memindahkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara.

