SEPANG, 30 November – MD SkinLab & Nutraceutical merancang untuk disenaraikan di pasaran saham Nasdaq bagi mengembangkan perniagaan di peringkat antarabangsa menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Amerika Syarikat (AS) pada separuh pertama 2027.
Menurut kenyataan syarikat, keyakinan itu disokong pembukaan kilang serta barisan pengeluaran baharu di Sepang yang membolehkan syarikat itu meningkatkan kapasiti pengeluaran, di samping meneroka lebih banyak pasaran baharu di luar negara.
Rakan Kongsi Rantau ASEAN MVP International Capital Group, David Teh berkata, syarikat itu menyasarkan pengembangan ke beberapa negara dan menerusi penyenaraian itu ia akan mendapatkan akses lebih mudah ke pasaran antarabangsa yang lebih luas.
Tambah beliau, MVP International merupakan penasihat kepada kumpulan itu bagi menerbitkan IPO di pasaran Nasdaq terutama dalam memastikan mereka layak dan memenuhi kriteria yang ditetapkan di AS.
“Memandangkan proses IPO dijangka mengambil masa lebih setahun, kami sedang berusaha mengatasi segala cabaran bagi memastikan syarikat ini berada pada kedudukan yang baik untuk disenaraikan.
“Kami menyasarkan terbitan IPO ini pada separuh pertama 2027 dan ia bergantung kepada pasaran ekonomi global tetapi kami juga melihat ia sebagai sasaran yang boleh dicapai,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian kilang MD SkinLab & Nutraceutical, hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Dr. Ani Ahmad.
Sementara itu, Pengasas MD Health Sdn Bhd, Datuk Chan Choon Lai berkata, kilang baharu tersebut dibina bukan sekadar sebagai pusat pengeluaran, tetapi sebagai hab inovasi dan ia dilengkapi makmal Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), pasukan ahli kimia dan penyelidik yang berpengalaman, serta keupayaan untuk mereka bentuk serta menyesuaikan produk mengikut keperluan pelbagai jenama.
“Melalui R&D yang kukuh, kami mampu membangunkan produk yang bukan sahaja memenuhi piawaian antarabangsa, malah menawarkan inovasi baharu yang memberi nilai tambah kepada pengguna,” jelasnya.
Menurut beliau, sebagai sebuah syarikat tempatan yang ingin bersaing di peringkat global, pihaknya sentiasa memastikan setiap proses pembuatan mematuhi garis panduan ketat dari segi kualiti, keselamatan dan kelestarian.
Menerusi fasiliti moden itu, pihaknya berazam untuk terus meningkatkan kecekapan operasi dan memperkasa daya saing Malaysia di pentas antarabangsa.