KUALA LUMPUR, 30 November – Mekanisme pembayaran hak 40 peratus hasil cukai Sabah perlu diperhalusi secara jelas dan telus.
Penganalisis Politik. Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata jawatankuasa terlibat perlu menilai pendekatan yang bakal digunakan serta menentukan cara pengoperasian yang lebih tepat dan berkesan.
Menurut beliau, kejelasan dalam mekanisme berkenaan penting bagi memastikan bayaran tersebut benar-benar sampai kepada kerajaan negeri dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Sabah.
“Sudah pasti jawatankasa yg melihat kepada peruntukan 40 peratus ini barangkali perlu menilai pendekatan yang mahu diambil, cara pengoperasian dan juga prosedurnya supaya ia tidak melahirkan apa saja keresahan dan kebimbangan pada masa yang akan datang.”
“Ini juga penting untuk menunjukkan bahawa kerajaan benar-benar ikhlas dalam memastikan ia sampai kepada kerajaan negeri dan bagaimana itu boleh disalurkan untuk membawa manfaat dan juga perubahan pembaharuan kepada penduduk negeri Sabah secara keseluruhannya”, katanya ketika ditemubual oleh RTM.
Jelasnya lagi, penyelesaian berhubung mekanisme pembayaran dapat mengelakkan isu berkenaan daripada dijadikan modal kempen pada pilihan raya negeri akan datang.
Beliau menambah, kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu menetapkan pendekatan strategik bagi memelihara hubungan harmoni serta memastikan kesinambungan perubahan dan pembaharuan terlaksana di Sabah.
“Dalam kempen baru-baru ini, kita melihat bahawa ia menjadi satu tarikan bahan kempen, sudah tiba masanya kerajaan memastikan bahawa ia tidak akan digunapakai dalam 5 tahun akan datang.
“Tetapi waktu itu di nilai bagaimanakah pendekatan strategik intervensi yang dguna pakai untuk memelihara keharmonian diantara negeri dan juga kerajaan Pusat untuk memastikan kelangsungan perubahan dan pembaharuan yang berlaku di Sabah”, katanya.