BANDARAYA MELAKA, 23 November -Kerajaan Negeri Melaka komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan bangunan dan monumen bersejarah di negeri itu sentiasa terjaga dan diselenggara dengan baik.
Timbalan Exco Pelancongan ,Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Zaidi Atan berkata, antara langkah yang diambil termasuk pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan atau car free zone (CFZ) bagi mengurangkan gegaran, terutamanya di kawasan bangunan bersejarah seperti Stadthuys.
Katanya, sebahagian besar bangunan bersejarah di Melaka berusia ratusan tahun dan memerlukan penyelenggaraan berkala bagi mengekalkan warisan serta nilai sejarahnya
“Ia bukan perkara yang rosak kita buat, tetapi kita sentiasa membuat penyelenggaraan supaya setiap daripada fakta struktur yang ada kita kekalkan dan boleh wariskan kepada generasi akan datang. Kerana monumen dan bangunan ini bukan lagi bersifat selepas merdeka, tetapi ianya bagunan yang berusia ratusan tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Muzium Sastera Melaka, di sini. Hadir sama pada majlis itu ialah Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar pembentangan Bajet 2026 Negeri Melaka pada Disember nanti memberi perhatian khusus kepada penyelenggaraan bangunan dan monumen bersejarah.

