‘Memori Suara Pyanhabib’ mengenang legasi pujangga penyair revolusioner tanahair

SHAH ALAM, 29 November – Malam penghargaan Memori Suara Pyanhabib, anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan sokongan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, berlangsung penuh emosi dan nostalgia di Pusat Konvensyen Setia City, malam tadi.

Program itu dianjurkan bagi mengenang legasi pujangga tersohor, Allahyarham Pyanhabib, seorang penyair revolusioner yang terkenal dengan gaya penulisan tidak konformis serta puisi yang menyingkap sisi nurani masyarakat.

Majlis dirasmikan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad, menghimpunkan rakan seniman, sasterawan, wartawan, peminat serta pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Selangor.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan kepada balu Allahyarham, sebagai simbol solidariti dunia seni terhadap keluarga penyair tersebut.

Malam penghargaan itu diserikan dengan tayangan video khas ‘Pujangga Kontra di Kaki Lima’, sebelum diteruskan dengan segmen deklamasi puisi yang menampilkan bacaan karya-karya ikonik penyair tersebut.

Sebanyak 10 puisi terkenal Allahyarham dideklamasikan oleh barisan seniman pelbagai generasi, termasuk Adik Heidi Pyan (Ayah dan Segenggam Tanah), Datuk Dr. Siti Zainon Ismail (Sebermula), Adik Qasyaf Iman (Guling), Yusof Othman (Ngilu), Shukri Abdullah (Romen Cara Kampung), Sani Sudin (muzikalisasi sajak), Datuk Fauziah Nawi (Melayu vs Melayu), Sabri Yunus (Monolog Seekor Haiwan) dan Imuda (Bapaku Seorang YB).

Turut dipaparkan, klip rakaman khusus oleh wartawan dan penulis sastera Malaysia Zainal Rashid yang mendeklamasikan puisi almarhum berjudul ‘Hujan’.

Sesi “Sembang Memori” menambah kedalaman emosi apabila Erin, balu Allahyarham, berkongsi kisah dan sisi peribadi penyair itu dalam segmen yang dipandu oleh Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Y.M Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Sebagai kemuncak acara, penyanyi dan komposer Ajin Black Rose mempersembahkan secara langsung lagu Pujangga Kontra di Kaki Lima, yang dicipta khusus sebagai penghormatan terhadap semangat kontra budaya yang menjadi identiti Pyanhabib.

Malam penuh memori tersebut bukan sahaja meraikan sumbangan seni Allahyarham, malah juga memperlihatkan warisan puisinya terus hidup dalam kalangan rakan-rakan seperjuangan dan generasi muda.

Hey there! Ask me anything!