KUALA LUMPUR, 4 Disember – Dalam usaha mempromosi jenama tempatan ke pasaran global, Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia ke-20 (MIBS 2025) yang dianjurkan berperanan memperluas peluang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meneroka pasaran baharu.
Ia bagi menjalin kerjasama dalam aspek teknologi, inovasi dan pelaburan antara usahawan Malaysia dan negara luar.
Menurut Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia, Datuk Seri Abu Hassan Mohd Nor, pameran antarabangsa yang menampilkan lebih 500 pempamer dari dalam dan luar negara itu mempamerkan teknologi terkini merangkumi pelbagai sektor, termasuk mesin pemprosesan makanan, automasi industri, plastik, pembungkusan serta bahan binaan.
“Kita mahu usahawan bekerja bersama-sama untuk memajukan produk tempatan. Bukan sahaja menjual di dalam negara, kita mahu menjadi jaguh dunia. Kita bawa produk Malaysia sehingga ke pasaran besar seperti China.
“Usahawan yang baru memulakan perniagaan perlu datang ke sini. Kita ada pempamer dari Korea, Jepun dan banyak negara lain. Sebab itu kita panggil MIBS sebagai platform dunia,” katanya.
Sementara itu, Presiden Malaysia Promas International Business Society (Promas), Datuk Chong Chong Tik, berkata MIBS merupakan platform wajib dikunjungi usahawan profesional bagi mencari peluang perniagaan baharu, kerjasama strategik serta mendapatkan pandangan pasaran bernilai.
“Kami mahu mempromosikan produk berjenama Malaysia seperti sarang burung, kopi panas, tekstil, makanan kesihatan dan produk kecantikan. Terutama sekali produk yang mendapat pensijilan halal Malaysia, untuk dipasarkan ke pasaran global melalui platform MIBS,” katanya.
MIBS 2025 yang berlangsung sehingga 6 Disember ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpr turut disertai pempamer dari Indonesia, Korea, Iran, Thailand, Ukraine, Vietnam serta negara-negara ASEAN lain.
Pameran itu juga menampilkan pavilion antarabangsa dari beberapa wilayah di China termasuk Zhejiang, Guangxi, Shenzhen, Yunnan dan Guangzhou.