SEREMBAN, 5 Disember – Kerajaan Negeri Sembilan membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM640 juta dengan anggaran hasil RM610 juta.
Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia sekali gus menjadikan belanjawan kali ini defisit sebanyak RM30 juta.
“Sukacita saya umumkan, 23 inisiatif baharu akan diperkenalkan, dan 46 inisiatif sedia ada akan dikekalkan atau ditambah baik.
“Ia menjadikan jumlah keseluruhan inisiatif berfokuskan rakyat dalam Belanjawan 2026 sebanyak 69 inisiatif dengan peruntukan berjumlah RM112.80 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Bertemakan ‘Belanjawan MADANI Rakyat Harmoni’ ia menumpukan sembilan bidang utama iaitu kemampanan ekonomi; keterjaminan makanan; pendidikan; pemerkasaan komuniti; kerohanian dan agama; penerkasaan wanita, belia dan sukan; pelancongan, adat dan budaya; kelestarian alam sekitar serta kebajikan dan kesihatan.