‘Nilai prestasi hakim di mahkamah, bukan latar belakang peribadi’

KUALA LUMPUR, 5 Disember – Seseorang hakim harus dinilai berdasarkan keputusan dan prestasi di mahkamah, bukan bersandarkan sejarah atau latar belakang peribadi.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh menegaskan, prestasi terbabit dilihat berdasarkan kepada penghakiman bertulis hakim itu dan perilakunya ketika mengendalikan kes.

Justeru, persoalan berhubung pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak seharusnya ditimbulkan.

Tegas beliau, Akta JAC memberikan kuasa prerogatif kepada Perdana Menteri untuk melantik anggota kelima daripada Hakim Mahkamah Persekutuan tanpa perlu merujuk suruhanjaya itu.

“Saya percaya seorang hakim harus dinilai berdasarkan prestasi beliau di mahkamah, berdasarkan alasan penghakimannya, bukan faktor luaran lain.

“Jika anda mahu menilai Tan Sri Terrirudin, biarlah kita menilainya berdasarkan alasan penghakimannya, perlakuannya di dalam mahkamah, cara beliau mengendalikan peguam, cara beliau menilai hujahan kedua-dua pihak begitulah cara kita menilai seorang hakim, bukan berdasarkan perkara lain, bukan berdasarkan sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada ‘Majlis Temubual sempena 100 Hari Pelantikan’ di Pejabat Ketua Hakim Negara, di Istana Kehakiman.

Mengulas kebimbangan wujud isu integriti JAC susulan pelantikan berkenaan, Datuk Seri Wan Ahmad Farid berkata, keputusan Perdana Menteri melantik Tan Sri Ahmad Terrirudin sebagai anggota JAC adalah dalam bidang budi bicaranya dan tidak boleh dicabar.

“Saya tidak boleh mempersoalkan, tiada siapa boleh mempersoalkan kerana itu adalah kuasanya. Jadi kita terima sahaja,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Tan Sri Ahmad Terrirudin telah menghadiri mesyuarat JAC baru-baru ini dan tiada sebarang isu yang timbul.

Tambah beliau, fokus utama kini ialah memastikan badan kehakiman terus dinilai berdasarkan prestasi sebenar serta keputusan yang dibuat di mahkamah.

JAC memainkan peranan penting dalam menilai dan mencadangkan calon hakim, termasuk urusan pelantikan serta kenaikan pangkat.

Hey there! Ask me anything!