Op Songsang: 203 lelaki ditahan

KUALA LUMPUR, 29 November– 203 lelaki berusia 19 hingga 60 tahun ditahan menerusi Op Songsang yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama tiga agensi lain di sebuah premis di Jalan Raja Laut, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau memandang serius laporan berkenaan membabitkan kegiatan tidak bermoral serta bercanggah dengan nilai agama dan undang-undang negara.

“Pemeriksaan dijalankan berlandaskan peruntukan undang-undang termasuk bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, antaranya Seksyen 25 (liwat) dan Seksyen 47 (percubaan melakukan liwat). Selain itu, tindakan turut diambil di bawah Kanun Keseksaan, iaitu Seksyen 377A dan 377B berkaitan kesalahan seksual terhadap tabii manusia,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Datuk Dr Mohd Na’im surat perintah hadir memberi keterangan (SPH) turut dikeluarkan kepada pengunjung beragama Islam yang ditahan dalam serbuan berkenaan bagi tujuan siasatan lanjut mengikut peruntukan akta berkaitan.

Beliau turut memaklumkan, sebahagian yang dikenal pasti merupakan penjawat awam, sesuatu yang disifatkan membimbangkan serta menuntut intervensi akhlak dan integriti yang lebih tegas.

Proses pembatalan lesen oleh DBKL juga sedang dilaksanakan terhadap premis itu yang mempunyai lesen sebagai gimnasium, sauna dan pusat kecergasan tetapi dipercayai menjalankan kegiatan yang bercanggah undang-undang dan akhlak.

Selain itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JAWI juga diarahkan bersama agensi berkaitan memperkukuh program pencegahan, advokasi akhlak dan pendidikan nilai khususnya kepada golongan belia, profesional serta komuniti bandar.

“Saya menyeru masyarakat untuk tidak menormalisasi maksiat dan tidak memandang ringan isu keruntuhan moral yang boleh merosakkan generasi dan maruah negara, kita mendambakan sebuah Malaysia maju yang tinggi akhlaknya, kuat jati dirinya serta diredai Tuhan,” katanya.

Seramai 17 penjawat awam antara 208 individu ditahan polis dalam serbuan di sebuah kelab kesihatan yang dipercayai dijadikan lokasi kegiatan seksual songsang di kawasan Chow Kit, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Azani Omar berkata operasi pada 8 malam semalam itu dilaksanakan KL Strike Force PDRM dengan kerjasama JAWI dan DBKL, selepas dua minggu risikan dan pemantauan.

Hey there! Ask me anything!