Operasi Carilamat bot pati karam di perairan Malaysia-Thailand tamat selepas 9 hari

LANGKAWI, 17 November – Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) insiden bot membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang karam di sempadan perairan Malaysia–Thailand ditamatkan pada pukul 6.30 petang hari ini selepas sembilan hari pencarian.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian akhir mendapati tiada sebarang petunjuk baharu selain mengambil kira faktor cuaca serta risiko keselamatan, selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Carilamat.

Sepanjang sembilan hari operasi dijalankan, lebih 300 pegawai dan anggota digerakkan dengan melibatkan 22 aset; tiga aset udara dan 19 aset laut daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) serta Unit Dron JBPM.

Menurut Zainudin, penemuan mangsa direkodkan di beberapa lokasi sekitar Pulau Singa Besar, Pulau Rebak Besar, Teluk Apau, barat Tanjung Belua dan Pulau Anak Datai.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, seramai 43 mangsa berjaya ditemukan; 14 mangsa terselamat (12 lelaki, dua wanita) dan 29 mangsa maut (15 lelaki, sembilan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan).

“Dalam keseluruhan kawasan operasi Carilamat ini, APMM bersama TLDM dan Pasukan Polis Marin berada dalam kesiap siagaan melaksanakan Operasi Guard atau Op Guard Bil 5/2025, fokus utama adalah mencegah daripada kemasukan PATI dari negara jiran,” katanya.

Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah wakil-wakil agensi yang terlibat dalam operasi Carilamat.

Zainudin turut menegaskan operasi akan diaktifkan semula sekiranya terdapat sebarang petunjuk baharu.

Hey there! Ask me anything!