KOTA KINABALU, 16 September – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Kampung Marahang Tuntul, Papar tamat selepas lebih 10 jam dijalankan dengan penemuan mangsa terakhir, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, pada 8.45 malam semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, menjadikan jumlah kematian akibat tanah runtuh sejak Jumaat lepas sebanyak 13 orang.
Dalam kejadian pada 9.20 pagi semalam, seorang ibu berusia 34 tahun dan dua anaknya tertimbus. Ibu mangsa ditemui pada 4.20 petang manakala anak lelakinya berusia enam tahun dijumpai lima minit kemudian.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan sebelum mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

