Ops Perang Lebih Muatan: 7,472 kenderaan diperiksa, 2,682 diambil tindakan

KOTA BHARU, 30 November – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan telah mengeluarkan 2,822 notis saman terhadap pelbagai kesalahan dalam Ops Perang Lebih Muatan yang dijalankan sejak 14 Oktober lalu.

Operasi itu melibatkan 7,472 kenderaan yang diperiksa, dengan 2,682 kenderaan telah diambil tindakan.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata selain mengeluarkan saman, pihaknya turut menyita lima kenderaan di bawah Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana membawa muatan melebihi 50 peratus.

“Jumlah kenderaan diperiksa ialah 7,472, daripada jumlah itu 2,682 telah diambil tindakan. Saman yang dikeluarkan berjumlah 2,822, sementara lima buah kenderaan disita kerana membawa muatan lebih 50 peratus:, katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kebanyakan kenderaan perdagangan tersebut membawa muatan mineral seperti batu dan pasir.

Pihaknya telah mengenal pasti kawasan kuari di Pasir Puteh paling aktif dengan kenderaan lori yang membawa muatan berlebihan.

Beliau turut menekankan bahawa operasi tersebut bukan bertujuan menekan pemain industri, tetapi memberi tumpuan kepada keselamatan jalan raya dan kelestarian kenderaan termasuk keselamatan pemandu lori.

Mengulas lanjut, katanya ops tersebut akan diteruskan sehingga 31 Disember depan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Misuari berkata, pihaknya berjaya mengutip kompaun sebanyak RM9.2 juta dari Januari hingga 27 November lalu menerusi tawaran kompaun 50 peratus saman.

Pihaknya mengalu-alukan orang ramai untuk mengambil peluang membayar saman memandangkan tempoh kompaun yang akan berakhir 31 Disember ini.

Hey there! Ask me anything!