KUANTAN, 5 Disember – Kerajaan Negeri Pahang optimis berlaku peningkatan golongan belia dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini, menjelang 2026.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai inisiatif dirangka antaranya penubuhan Akademik Rel Pahang.
Menurut beliau, penubuhan itu sebagai persediaan memenuhi peluang pekerjaan bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang akan beroperasi pada 2027.
“Kita juga ada program keterjaminan kerjaya, contohnya melalui penubuhan Akademi REL Pahang. Kita sangat menyedari bahawa projek ECRL akan memerlukan kira-kira 50,000 tenaga kerja apabila siap nanti pada tahun 2027, insya-Allah.
“Setakat ni pihaknya telah melatih kira-kira 6,000 belia sebagai tenaga kerja mahir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku Datuk Mustapa Long berkenaan usaha kerajaan negeri dalam mewujudkan tenaga kerja berkualiti dan berdaya saing dalam bidang TVET.
Kerajaan Negeri juga komited ke arah memperkasakan TVET dengan pelbagai institusi pendidikan TVET diwujudkan sebelum ini antaranya Pahang Skills Development Center dan Kolej Yayasan Pahang.
Sesi soal jawab tersebut dilaksanakan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.