Pasangan bakal pengantin maut, SUV terbabas ke dalam gaung

HULU TERENGGANU, 6 Disember – Sepasang bakal pengantin maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki terbabas ke dalam gaung di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring berhampiran Bukit Kawah, pada Jummat.

Dalam kejadian itu, mangsa, Hassan Shazali, 52 tahun, seorang guru di SK Lebir dan Suzaimah Che Azis, 34 tahun, pekerja kantin sekolah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Penguasa Polis SUPT Sharudin Abdul Wahab berkata, pasangan terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu menuju ke rumah mereka di Gua Musang, Kelantan.

“Siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu mangsa melalui laluan yang telah ditutup kepada semua kenderaan susulan kejadian tanah runtuh sebelum ini.

“Kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 61 meter,” katanya.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, pasangan berkenaan dijadual melangsungkan perkahwinan pada 25 Disember depan.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat.

Hey there! Ask me anything!