PDRM perkukuh penguatkuasaan dengan 7,000 kamera badan

KUALA LUMPUR, 5 Disember – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh kesiapsiagaan pasukan melalui perolehan lebih 7,000 unit kamera badan (BWC), usaha yang turut meningkatkan keyakinan masyarakat serta mempertingkatkan tadbir urus yang baik.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kelengkapan dan infrastruktur merupakan elemen penting untuk memastikan operasi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) berjalan efektif.

“Perolehan BWC ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan awam, malah memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti dalam setiap penugasan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara pada Jumaat.

Beliau menambah, JPJKK juga telah dibekalkan sebanyak 7,000 unit Mobile Card Acceptance Device (MCAD) bagi membolehkan semakan data secara masa nyata (real-time) bersama agensi utama, sekaligus mempercepatkan proses pemeriksaan, siasatan dan penguatkuasaan.

“Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) giat melaksanakan rondaan berterusan. Kehadiran mereka bukan sahaja meningkatkan keyakinan masyarakat, malah menjadi tunjang utama dalam pencegahan jenayah secara langsung,” jelasnya.

Tambah Datuk Seri Mohd Khalid, JPJKK turut memperoleh lebih 1,600 kenderaan MPV untuk tindakan respon pantas, serta lebih 1,100 unit pistol renjatan elektrik bagi mempertingkatkan keupayaan penguatkuasaan serta melindungi keselamatan petugas.

“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025, kedua-dua unit ini juga berjaya melaksanakan lebih 19,000 tangkapan, membabitkan pelbagai kes jenayah termasuk narkotik dan imigresen.

“Pencapaian ini amat membanggakan dan mencerminkan komitmen tinggi petugas JPJKK dalam menjaga keselamatan awam,” katanya.

Langkah berterusan itu diyakini mampu memastikan PDRM kekal relevan, diyakini, dan berupaya menjamin keselamatan rakyat pada setiap masa.

Hey there! Ask me anything!