PEDP-BRN setuju teruskan proses dialog damai Selatan Thailand

KUALA LUMPUR, 8 Disember – Panel Dialog Damai bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP) dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN), capai persetujuan untuk meneruskan Proses Dialog Damai Selatan Thailand yang tergendala sejak Ogos tahun lalu.

Menurut Fasilitator Kerajaan Malaysia, Datuk Mohd Rabin Basir, kedua-dua pihak bersetuju menambah baik kerangka perdamaian sedia ada.

Usaha tersebut dilaksana menerusi penekanan kepada pencapaian natijah akhir yang realistik dan boleh dilaksanakan berasaskan tiga teras utama iaitu, Pemberhentian Keganasan, Konsultasi Awam dan Penyelesaian Politik.

“Mesyuarat turut mencadangkan agar Kumpulan Kerja Teknikal yang berkaitan ditubuhkan bagi membincangkan isu-isu berkenaan dengan lebih lanjut.

“Malaysia sentiasa komited untuk mempercepatkan segala usaha dan ikhtiar ke arah perdamaian.

Ini termasuk membincangkan aspek inklusiviti dengan lebih mendalam yang akan diperhalusi di peringkat meja perbincangan teknikal pada masa akan datang,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia kekal komited untuk terus menyalurkan bantuan yang bersesuaian bagi memastikan proses pendamaian terus dicapai sepenuhnya, sekali gus mengekalkan peranan negara sebagai fasilitator.

Datuk Mohd Rabin berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Rasmi Proses Dialog Damai Selatan Thailand kali ke-8 yang berlangsung di ibu negara.

Mesyuarat itu disertai delegasi PEDP, yang diwakili Jeneral Somsak Roongsita dan delegasi BRN, diketuai Ustaz Anas Abdulrahman serta seorang pemerhati antarabangsa.

Malaysia merupakan fasilitator bagi proses rundingan damai sejak 2013, bertujuan menamatkan konflik berterusan di wilayah selatan Thailand iaitu Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Hey there! Ask me anything!