Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan 2026–2030, perkukuh jaringan perlindungan sosial

BANGI, 8 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merangka Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan 2026–2030 bagi mengukuhkan ekosistem jaringan keselamatan sosial negara serta meningkatkan keberkesanan program berkenaan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelan tindakan lima tahun itu akan dibangunkan berdasarkan dapatan Konvensyen Food Bank Malaysia yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakan strategik serta pengendali program bantuan makanan.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan inisiatif foodbank yang mula digerakkan sejak 2019 melalui sekretariat KPDN dapat ditransformasikan agar lebih berstruktur, mampan dan memberi impak lebih bermakna kepada golongan memerlukan.

“Berdasarkan dua komponen utama pelan ini, komponen pertama menumpukan kepada penjajaran semula program Food Bank Malaysia melalui aspek kemampanan dan keterjaminan makanan. Komponen kedua pula melihat bagaimana program ini boleh disesuaikan dalam konteks bantuan kebajikan serta menangani isu kos sara hidup.

“Teras terpenting program ini ialah pelaksanaannya berasaskan konsep perpaduan dan tanggungjawab kolektif. Dapatan daripada konvensyen ini akan menjadi asas kepada pembentukan Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan 2026–2030,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Food Bank Malaysia 2025, hari ini.

Konvensyen yang julung kali dianjurkan itu bertujuan merintis transformasi dalam memperkukuh pelaksanaan Program Food Bank Malaysia, yang diselia KPDN melalui Sekretariat Food Bank Malaysia sejak ia mula diperkenalkan pada 2019.

Antara objektif utama konvensyen tersebut ialah menstruktur semula pelaksanaan program food bank melalui penggunaan sistem dan teknologi terkini; mengukuhkan peranan program sebagai inisiatif sokongan serta pelengkap dalam ekosistem keselamatan sosial; selain memperluas kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan serta jaringan kebersamaan.

Datuk Armizan turut menekankan kepentingan pendekatan “whole-of-nation” yang menyeluruh, melibatkan kerjasama lebih erat antara kerajaan, NGO, sektor swasta dan komuniti.

Jelasnya, kerajaan akan meneliti aspek kawal selia, sokongan logistik dan insentif tertentu bagi memperkukuh peranan NGO yang sekian lama terlibat dalam program bantuan makanan.

“Kita maklum bahawa sebahagian besar NGO kini beroperasi berdasarkan lokaliti tertentu. Oleh itu masih terdapat kawasan, daerah dan negeri, iaitu golongan yang memerlukan bantuan makanan belum lagi disentuh oleh mana-mana pihak.

“Kami berharap Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan ini dapat merangkumi golongan sasaran secara menyeluruh di seluruh negara. Penyediaan pelan tindakan ini akan diusahakan secepat mungkin, memandangkan ia merangkumi tempoh lima tahun, dari 2026 hingga 2030, dan dijangka dapat dilaksanakan pada awal tahun hadapan,” katanya.

Selain komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), transformasi Program Food Bank Malaysia juga digariskan sebagai antara strategi menggerakkan tonggak keempat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) iaitu mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Hey there! Ask me anything!