KUALA LUMPUR, 3 Disember – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pelantikan semula Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua berkuat kuasa hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan itu membolehkan ketiga-tiga menteri tersebut meneruskan tugasan penting demi kesinambungan dasar, tatakelola dan agenda reformasi negara selaras aspirasi Malaysia MADANI.
“Perdana Menteri juga akan memuktamadkan senarai menteri dan timbalan menteri bagi Kerajaan MADANI kelak, selepas proses pertimbangan yang cermat, berhemah dan benar-benar berlandaskan kepentingan rakyat serta hala tuju reformasi negara,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, ketiga-tiga menteri berkenaan mengangkat sumpah sebagai senator bagi penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Pelantikan semula yang membolehkan mereka meneruskan tugas dalam Jemaah Menteri itu, dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengikut peruntukan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 2 Disember 2028 selaras Perkara 45(3) dan 45(3A).