KOTA TINGGI, 30 November – Seramai 277 bekas ahli Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) di Johor berjaya dibimbing kembali ke landasan akidah yang sebenar melalui 36 sesi Kursus Pemantapan Akidah dan Program Istitabah anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sejak tahun lalu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata proses pemulihan itu dilaksanakan tanpa sebarang unsur kekerasan mahupun pendakwaan, sebaliknya melalui pendekatan berhikmah dan bimbingan berterusan.
“Kami tidak selesa jika terpaksa menggunakan kekerasan atau pendakwaan. Tetapi jika itu perlu, saya beri komitmen bahawa Kerajaan Johor tidak pernah teragak-agak untuk melaksanakannya bergantung kepada reaksi kumpulan-kumpulan tersebut”, ujarnya yang ditemui semasa Majlis Perasmian Kursus Pemantapan Akidah dan Program Istitabah Bekas Ahli GISB Negeri Johor di Masjid As’syifa Bandar Penawar di sini.
Sepanjang mengikuti program berkenaan, kesemua bekas ahli GISB turut dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui penyediaan bantuan sara hidup dan bantuan persekolahan bagi mengurangkan beban mereka.
Program berkenaan akan diteruskan ke fasa kedua, yang menyasarkan penyertaan baki bekas ahli GISB serta beberapa kumpulan ajaran sesat lain termasuk mereka yang terlibat dengan aktiviti kuda kepang, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang mahu ajaran sesat dibanteras secara tegas.
Sementara itu, seorang bekas ahli GISB, Mohd Normateen Mohd Sharif yang ditemui menyifatkan bahawa program tersebut memberi banyak ilmu baharu dan membuka ruang kesedaran
Saya nasihatkan mereka yang belum mengikuti kursus ini, eloklah serah diri kerana manfaatnya sangat besar. Ia meluaskan pemikiran kita… agama ini tinggi, bukan sempit.
“Kalau ilmu tidak cukup, pemikiran kita jadi sempit. Apa yang kami didedahkan dalam kursus ini sangat baik”, ujarnya yang ditemui RTM.