Pembinaan Negara bangsa hala tuju baharu Kementerian Perpaduan Negara

KANGAR, 1 November – Pembinaan Negara bangsa merupakan hala tuju baharu yang akan diperkenalkan Kementerian Perpaduan Negara bermula tahun hadapan selaras dengan mandat yang telah diberikan bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penekanan utama diberikan kepada usaha membina sebuah Negara Bangsa yang berdaulat, bermaruah dan utuh, demi menjamin keharmonian, keamanan serta kestabilan negara.

“Sejajar dengan itu, perpaduan negara yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara akan terus dijadikan asas dalam memperkukuh identiti kebangsaan.

“Dalam konteks Malaysia, konsep negara bangsa tidak boleh ditafsir secara sempit sebagai mewakili satu kaum atau satu budaya semata-mata. Sebaliknya, negara bangsa Malaysia terbentuk daripada rakyat berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa, namun bersatu di bawah satu identiti nasional yang dikongsi bersama.

“Inilah identiti yang menjadi teras kepada perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian negara. Sehubungan itu, muzium berperanan sebagai wadah penting dalam usaha membina dan memperkukuh semangat negara bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Fiesta Uniti @ Muzium Kota Kayang dan Rumah Hijau yang merupakan Rumah Kelahiran Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Muzium Kota Kayang, di sini.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan hadir merasmikan majlis itu dan diiringi Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Hey there! Ask me anything!