BAGAN DATUK, 24 November – Usaha memelihara alam sekitar perlu diperkasa secara menyeluruh dengan penglibatan semua lapisan masyarakat dan tidak boleh hanya disandarkan kepada agensi tertentu.
- Pemeliharaan alam mesti diperkasa secara menyeluruh dengan penglibatan semua lapisan masyarakat, bukan hanya agensi tertentu.
- Tindakan tegas dan serius diperlukan kerana kerosakan alam banyak berpunca daripada kelemahan manusia dalam pengurusan pembangunan dan sisa.
- Pendidikan dan kempen kesedaran, termasuk penglibatan selebriti serta pempengaruh, penting menguatkan mesej pemuliharaan alam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata perubahan iklim yang semakin ketara menuntut tindakan lebih tegas dan serius daripada seluruh rakyat Malaysia.
Menurut beliau, kerosakan alam sekitar tidak semata-mata berpunca daripada fenomena semula jadi, sebaliknya akibat kelemahan manusia dalam mengurus pembangunan dan sisa secara berhemah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2025 Peringkat Negeri Perak di Bagan Datuk pada Ahad/BERNAMA
“Kita mesti bermesra dengan alam. Kita mesti menjaga alam kerana kemusnahan alam adalah kerana kelemahan manusia. Manusia yang merosakkan alam sekitar ini. Oleh sebab itu, kempen ini penting bagi menimbulkan kesedaran dalam kalangan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri Perak, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut memuji usaha kerajaan negeri Perak menerajui pengurusan e-waste melalui pewujudan 71 lokasi pengumpulan dengan jumlah kutipan mencecah 38 tan metrik setakat ini.
Beliau turut menyeru selebriti, pempengaruh serta komuniti tempatan untuk memperkukuh penyampaian mesej kesedaran alam sekitar selaras aspirasi Deklarasi Langkawi yang menekankan kepentingan pendidikan alam sekitar.
Pada majlis sama, RTM Perak menerima Anugerah Media Lestari sebagai pengiktirafan terhadap komitmen konsisten menyiarkan laporan berkaitan pemuliharaan dan isu alam sekitar di negeri tersebut.

