Pemerkasaan ekosistem e-dagang: ASEAN fokus tiga agenda utama

KUALA LUMPUR, 24 November– ASEAN perlu memberi tumpuan kepada tiga hala tuju utama bagi merealisasikan potensi penuh ekonomi digital rantau ini, terutama dalam usaha memperkukuh ekosistem e-dagang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Membangunkan ekosistem kepercayaan digital ASEAN untuk memastikan kebolehpercayaan, keselamatan data dan pengesahan penjual yang kukuh.
  • Meningkatkan interoperabiliti serantau supaya platform dan sistem e-dagang berfungsi lancar merentasi sempadan tanpa sekatan.
  • Memperkasa perdagangan digital hijau dan inklusif dengan sokongan produk tempatan, logistik lestari dan amalan perniagaan beretika.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, tiga hala tuju berkenaan meliputi pembangunan ekosistem kepercayaan digital ASEAN, peningkatan interoperabiliti serantau yang lancar, serta pemerkasaan perdagangan digital yang hijau dan inklusif.

“Membina satu kepercayaan itu penting kerana apabila kepercayaan itu tiris, maka tidak ada lagi kepercayaan kepada pemain-pemain industri.

“Kedua ialah interoperabiliti yang lancar, maksudnya ia boleh digunakan merentasi pelbagai platform dan sistem. Jadi ini juga amat penting kerana apabila e-dagang ini melangkaui sempadan negara, ia boleh berkembang tanpa batasan dan merentasi negara-negara lain.” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan kepentingan memacu perdagangan digital yang hijau dan inklusif bagi menyokong produk tempatan, sumber beretika serta logistik dan pembungkusan yang lebih lestari di peringkat ASEAN.

Dalam masa sama, beliau berkata pembangunan produk buatan Malaysia turut kekal menjadi fokus utama, seiring usaha mengukuhkan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta merancakkan pertumbuhan industri tempatan.

Mengulas mengenai kebangkitan platform asing dalam perniagaan, beliau berkata platform asing adalah peluang selagi mereka beroperasi secara telus, adil dan bertanggungjawab.

“Keutamaan Malaysia termasuk kesahihan produk, pengendalian data yang bertanggungjawab, pengesahan penjual dan mekanisme penyelesaian pertikaian yang berkesan.” katanya lagi.

Hey there! Ask me anything!