PUTRAJAYA, 11 Disember –Kerajaan bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) kini menumpukan kepada mengumpul, menyusun dan menginstitusikan pemikiran tokoh besar tanah air agar tidak hilang ditelan zaman.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, berkata usaha itu selari dengan majlis mengenang jasa dan sumbangan Pengerusi IKIM ke-5, Almarhum Prof. Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty yang pernah memegang jawatan Pengerusi IKIM ke-5.
Menurutnya, usaha tersebut bertujuan mengangkat warisan besar tokoh pemikir itu sebagai murabbi bangsa dan pemacu pembaharuan pemikiran Islam di Malaysia.
“Kita melihat bahawa usaha ini adalah untuk menginstitusikan dan juga mendokumentasikan sumbangan oleh tokoh-tokoh yang dilahirkan di tanah air kita. Kita ada ramai tokoh-tokoh yang berjasa, tetapi kita tidak dokumenkan dan usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan, termasuk IKIM, adalah sangat signifikan, iaitu apabila kita mendokumentasikan sumbangan tokoh-tokoh yang besar kepada negara,” katanya, di sini.
Menurut beliau lagi, kerajaan dan agensi agama akan meneruskan perjuangan Almarhum melalui beberapa inisiatif, termasuk usaha mendokumentasikan pemikiran dan gagasan beliau secara lebih sistematik, selain memperkukuh program literasi Islam, pembangunan modal insan dan penyelidikan strategik yang pernah digerakkan Almarhum semasa mengetuai IKIM.
Majlis anjuran IKIM turut menyaksikan pelancaran buku “Koleksi Ucapan Pengerusi IKIM”, yang menghimpunkan gagasan dan ucapan Almarhum sepanjang menerajui institusi itu dari 2023 hingga 2025.