TAWAU, 23 November – Pemimpin dan kem parti politik diberi amaran tegas agar tidak mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan atau anti-Persekutuan demi menjaga keselamatan serta kesejahteraan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin, menegaskan hubungan erat antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat merupakan kunci kepada pembangunan yang efektif, khususnya dalam memastikan perancangan negeri dapat dilaksanakan dengan menyeluruh pada masa hadapan.
Menurut beliau, Sabah merupakan sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan kewujudan Persekutuan itu sendiri adalah hasil sokongan Sabah bersama negeri-negeri lain.
Justeru, hubungan baik antara Sabah dan kerajaan pusat wajar diperkukuh bagi memastikan setiap agenda pembangunan negeri dapat dijayakan secara bersama.
“Untuk memastikan kerajaan dapat membangunkan negeri, mesti wujud hubungan yang kuat dan rapat dengan kerajaan pusat. Ini penting kerana Sabah adalah sebahagian daripada Persekutuan. Persekutuan ini milik semua negeri dalam Malaysia, termasuk Sabah, dan ia wujud hasil sokongan Sabah serta negeri-negeri lain.
“Maka, wajar hubungan yang baik itu diperkukuh supaya segala perancangan pembangunan Sabah dapat disokong dan dijayakan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Keluarga ATM Zon Tawau yang berlangsung di Kem Kabota, Tawau.
Program berkenaan menjadi platform penekanan soal pertahanan negara bukan sahaja dari segi kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia, tetapi turut memberi perhatian kepada aspek kesejahteraan anggota tentera serta keluarga mereka.

