PUTRAJAYA, 4 Disember – Agensi kerajaan disaran melaksanakan program pengurusan kewangan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebagai langkah proaktif dalam mendidik penjawat awam berkaitan pengurusan wang serta menangani masalah hutang berlebihan.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, fokus kerjasama tersebut tertumpu kepada pendidikan literasi kewangan dan risiko pelaburan tidak sah.
Ia susulan peningkatan kes penjawat awam yang terperangkap dalam keberhutangan melampau, termasuk menjadi mangsa penipuan pelaburan.
Manakala Modul penerangan mengenai pengurusan kewangan menerusi agensi di bawah Kementerian Kewangan itu juga; akan turut diperbanyakkan bagi memberi kefahaman mengenai risiko kewangan.
“Saya telah meminta semua agensi melaksanakan perkara ini dan sudah mengarahkan pelaksanaannya. Kebanyakannya melibatkan guru, jadi saya telah minta Ketua Pengarah Pendidikan memastikan setiap sekolah wajib menjalankan program bersama AKPK. Saya wajibkan semua sekolah buat program ini kerana kadang-kadang mereka tidak faham.
“Kita sering ingat bahawa apabila kita membuat pinjaman atau melabur, kita akan terus mendapat pulangan. Sebenarnya, semua pelaburan ada risiko. Jika kita tidak memahami risiko itu, sukar untuk berjaya dalam pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bertemu pengguna MRT di Stesen Cyberjaya City Centre dan Stesen Putrajaya Sentral, di sini.
Tan Sri Shamsul Azri turut memaklumkan bahawa antara masalah utama yang dikenal pasti ialah beban hutang melampau, penggunaan kad kredit secara tidak terkawal, terlibat pelaburan tidak wujud dan menjadi mangsa penipuan.
Manakala faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada penjawat awam terjerumus dalam masalah kewangan seperti tekanan hidup, desakan kehendak pasangan, serta ketidakseimbangan kewangan peribadi yang serius.