KUALA LUMPUR, 17 November – Pengumuman penting bagi meningkatkan kesejahteraan Orang Kurang Upaya (OKU) dijangka dibuat bersempena sambutan Hari OKU pada 3 Disember ini.
- Pengumuman besar bersempena Hari OKU 3 Disember melibatkan inisiatif baharu untuk meningkatkan kesejahteraan OKU.
- Perancangan termasuk penglibatan PDK menghasilkan produk seperti kerusi roda dan program sokongan yang diperincikan.
- Usaha mempromosi Job Coach dan pendedahan kepada syarikat korporat bagi meningkatkan peluang pekerjaan OKU.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) yang berlangsung pagi tadi membincangkan pelbagai inisiatif baharu, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan memastikan golongan OKU tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara.
“Ada beberapa perkara serta perancangan yang sedang diperhalusi dari segi usaha yang boleh dilakukan untuk PDK. Ketika ini, PDK wujud di seluruh negara. Selain itu, terdapat juga cadangan daripada KPT berkaitan PDK, dan perincian mengenai pelaksanaan program yang boleh dijalankan.
“Misalnya, bagi kerusi roda, ia bukan standard khusus untuk semua. Jadi, mungkin PDK boleh menghasilkan produk tersebut bagi membantu golongan OKU. Itu sekadar contoh. Terdapat juga perkara lain yang boleh mereka laksanakan, termasuk inisiatif daripada PDK di bawah KPT.
“Selain itu, kita juga menerima cadangan daripada kementerian lain, yang saya kira berpotensi menjadi satu kejutan. Jika semuanya diluluskan, kita akan membuat pengumuman pada 3 haribulan nanti,” katanya kepada media selepas Majlis Peluncuran Drama Pendek dan Tayangan Perdana ISM tahun 2025 di sini, hari ini.
Mengulas tahap kesedaran terhadap Program Perkhidmatan Job Coach yang masih rendah, Nancy berkata usaha sedang dipertingkatkan bagi mempromosikan perkhidmatan itu.
Beliau turut menegaskan bahawa lebih banyak syarikat korporat perlu diberi pendedahan agar mereka bersedia menawarkan peluang pekerjaan serta merekrut OKU dalam pasaran kerja.

