SEREMBAN, 5 Disember – Lebih 6,000 penjawat awam Negeri Sembilan bakal menerima Bantuan Khas Kewangan, (BKK) maksimum tiga bulan gaji dan minimum dua bulan gaji, tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pemberian itu merupakan antara insentif tertinggi pernah diberikan setakat ini.
“BKK berdasarkan prestasi terhad kepada maksimum tiga bulan gaji dan minimum dua bulan gaji untuk semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri, akan dibayar pada Januari dan Mac depan.
“Penghargaan itu juga kepada semua penjawat awam negeri, badan berkanun negeri serta pihak berkuasa tempatan. Manakala BKK berdasarkan prestasi bakal dibayar pada Jun 2026 kepada penjawat awam yang berprestasi tinggi,” katanya dalam Sidang Media Khas Pasca Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 di Wisma Negeri Seremban.
Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi KanserCare, yang merupakan Bantuan Pesakit Kanser, dengan pemberian insentif RM1,000 sekali beri kepada pesakit kanser.
“Bermula tahun depan, mana-mana anak kelahiran Negeri Sembilan yang menghidap kanser layak memohon peruntukan berkenaan,”jelasnya.