IPOH, 8 Disember – Kerajaan Negeri Perak meningkatkan tahap kesiapsiagaan menjelang kemungkinan berlakunya jangkaan gelombang kedua banjir pada penghujung tahun ini.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, semua persiapan kini berada pada tahap maksimum bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.
Beliau menambah, kerajaan negeri telah melengkapkan semua peralatan dan aset bencana, serta mengadakan mesyuarat penyelarasan banjir secara berkala bagi memastikan setiap agensi berada dalam keadaan bersiap sedia.
“Kita sudah menubuhkan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) dan telah membuat lawatan untuk meninjau bagaimana kita boleh berhubung secara dalam talian dan masa nyata antara daerah-daerah dengan pusat kawalan di Ipoh. Persiapan kita, insya-Allah, akan dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan tahap kesiapsiagaan maksimum,” katanya.
Beliau memberitahu demikian kepada pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Siri Kelapan 2025 di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Datuk Seri Saarani dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, memandangkan gelombang kedua banjir boleh berlaku pada bila-bila masa dan berisiko menyaksikan penduduk terpaksa berpindah sekali lagi.