PETALING JAYA, 6 Disember– Kementerian Digital mengalakkan kerjasama lebih erat dengan syarikat swasta, bagi memastikan pengembangan digital dapat dinikmati secara menyeluruh.
Jelas Menteri Digital, Gobind Singh Deo, usaha memacu kemajuan digital menuntut tanggungjawab kolektif daripada semua pihak.
Inisiatif seperti sumbangan komputer riba mampu mempercepatkan akses rakyat kepada teknologi sekaligus membuka peluang pembelajaran dan pembangunan diri.
“Inisiatif seperti ini membolehkan program berskala lebih besar dibawa kepada para pelajar. Dengan adanya peranti seperti komputer riba, mereka memperoleh akses kepada maklumat bukan sahaja dalam lingkungan sekolah, tetapi dari seluruh dunia.”
“Saya juga telah menekankan bahawa teknologi baharu membolehkan kita melaksanakan tugas dengan kos yang lebih rendah, lebih pantas dan dengan capaian maklumat yang jauh lebih luas,” kata Gobind, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam Program Sumbangan Laptop diperbaharui Grab Malaysia, di sini.
Seramai 100 pelajar daripada keluarga B40 sekitar Petaling Jaya dan Damansara menerima manfaat inisiatif tersebut.
Setiap komputer riba turut disertakan waranti sebagai jaminan kualiti.