KUALA LUMPUR, 18 November – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan mengeluarkan SMS amaran mengikut poskod sebagai isyarat awal kepada penduduk khususnya di kawasan berisiko banjir.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Abdul Gapar Abu Bakar, pihaknya turut menyediakan pelbagai maklumat berkaitan banjir di portal Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) bagi membolehkan orang ramai membuat semakan berdasarkan data teknikal daripada METMalaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya(JKR).
Menurutnya, NADMA menyalurkan peruntukan kepada semua negeri sebagai persediaan menghadapi MTL, selain menyelaras semakan aset, kemudahan dan logistik yang terlibat.
“Kita telah menyalurkan sebanyak RM7 juta kepada semua negeri serta jabatan dan agensi yang terlibat dalam pengurusan banjir kali ini. Pada masa yang sama, kita turut mengenal pasti dan menyemak aset, kemudahan serta logistik yang diperlukan bagi operasi banjir, termasuk 8,940 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang mampu menampung sehingga 2.17 juta mangsa pada satu-satu masa,” kata beliau kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini, hari ini.
NADMA juga menyediakan 60,000 kit makanan dan 110,000 pek makanan retort sedia dimakan bagi memastikan keperluan penduduk terjejas banjir sepanjang musim MTL dapat dipenuhi dengan segera dan teratur.
Beliau turut berkata, persediaan itu diselaraskan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi memastikan semua agensi berada dalam kesiapsiagaan penuh.
Dalam pada itu, NADMA bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) telah memperkenalkan kaedah baharu bagi pembayaran wang ihsan, yang akan disalurkan terus ke akaun penduduk terjejas bagi mempercepatkan proses penyaluran bantuan.
Menurutnya, pengurusan banjir melibatkan dua kategori agensi utama iaitu agensi teknikal seperti METMalaysia, JPS dan Jabatan Geosains, serta agensi tindak balas seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

