KUALA LUMPUR, 1 Disember – Peluncuran kereta elektrik (EV) oleh Perodua merupakan detik luar biasa yang membuktikan keupayaan kepakaran tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan peluncuran hari ini mencerminkan kepintaran, disiplin dan usaha gigih ke arah komitmen menuju sektor mobiliti yang lebih mampan.
Jelasnya, meskipun terdapat kekangan dalam pemindahan teknologi namun kejayaan penghasilan EV oleh Perodua ini sangat membanggakan sekali gus, mengangkat martabat negara.
“Positif dengan matlamat menjayakan aspirasi negara MADANI dan prinsip diutamakan dalam memenuhi tanggungjawab. Saya ulangi ini bukan peluncuran biasa, ini istimewa.
“Ada baiknya bila negara dagang luar negara enggan memindahkan teknologi secepatnya, ini pastinya ada kekhuatiran, kemusykilan tetapi terbukti, meskipun terdapat kekangan kerana pemindahan teknologi agak lambat atau kurang, rupanya ada kekuatan dalaman,” katnya ketika berucap pada Majlis Peluncuran EV Pertama Perodua, di sini.
Datuk Seri Anwar turut berpandangan, kerjasama antara Perodua dan vendor tempatan merupakan satu jalinan positif dalam menerajui agenda mobiliti negara.
Ketika ini, Perodua menjalin kerjasama secara agresif dengan vendor tempatan untuk membekalkan 50 pertaus komponen menjelang awal tahun 2026 dan meningkatkannya kepada 70 peratus menjelang 2030.
Sehingga kini, sejumlah 52 syarikat tempatan menjadi pembekal komponen auto untuk QV-E dan syarikat kenderaan kompak itu merancang untuk meningkatkan jumlah berkenaan kepada 70 vendor dalam tempoh 5 tahun (menjelang 2030).