PUTRAJAYA, 8 Disember – Malaysia menegaskan bahawa pertempuran yang berlaku di kawasan sempadan Thailand–Kemboja perlu dihentikan serta-merta bagi memastikan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan rantau Asia Tenggara terus terpelihara.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia memandang serius situasi berkenaan dan menyeru semua pihak mengambil langkah segera bagi meredakan ketegangan serta mengelakkan insiden yang boleh menjejaskan usaha perdamaian yang telah dicapai sebelum ini.
Beliau menegaskan, Malaysia menghargai komitmen kedua-dua negara melalui Perjanjian Gencatan Senjata pada 28 Julai, Mesyuarat GBC pada 7 Ogos dan pemeteraian KL Accord pada 26 Oktober 2025.
“Dalam semangat persefahaman serantau, Malaysia menggesa semua pihak kembali merujuk dan mematuhi Para 7 Perjanjian Gencatan Senjata 28 Julai yang menekankan keperluan rundingan segera di peringkat tempatan melalui mekanisme dua hala sedia ada, sekiranya berlaku konflik bersenjata sama ada disengajakan atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Malaysia yakin bahawa dialog berterusan, langkah diplomatik yang konstruktif serta penghormatan terhadap mekanisme dua hala dapat memastikan keamanan dan kestabilan terus terpelihara demi kepentingan bersama rantau ini.

