Pertimbang wujud kod etika pempengaruh media sosial – Fahmi

PUTRAJAYA, 5 Disember – Kementerian Komunikasi sedia meneliti cadangan mewujudkan kod etika bagi pempengaruh media sosial.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan dengan pakar berkenaan bagi memahami secara menyeluruh rasional, cadangan serta implikasi terhadap ekosistem komunikasi negara.

Cadangan kod etika berkenaan dikemukakan oleh pakar perang saraf dan penganalisis keselamatan serta politik, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin.

“Saya berhasrat untuk bertemu dengan pakar tersebut untuk cuba memahami dengan lebih lanjut kerana pada waktu ini kerajaan tidak mengenakan apa-apa syarat lesen atau pun mengawal selia pempengaruh,” katanya.

Menurut beliau, meskipun tiada keperluan lesen atau kawal selia terhadap pempengaruh ketika ini, beberapa perkembangan mutakhir menimbulkan persoalan berkaitan standard pelaporan dan tahap tanggungjawab sosial dalam kalangan mereka.

Beliau turut merujuk insiden inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang menyaksikan media arus perdana dihadkan akses liputan namun pempengaruh tanpa akreditasi dibenarkan membuat liputan penuh.

“Pihak Kementerian Komunikasi dan Jabatan Penerangan ada menerima aduan, pihak media rasmi tidak dibenarkan membuat pelaporan.

“Kita akan teliti dan situasi itu wajar dikaji semula dari segi tatakelola dan piawaian komunikasi,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Hey there! Ask me anything!