KUALA LUMPUR, 29 November – Kejayaan operasi pemindahan rakyat Malaysia di Hat Yai menonjolkan kerjasama erat dan koordinasi efektif antara kerajaan Malaysia dengan pihak berkuasa Thailand.
Menurut Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, operasi itu melibatkan kerjasama bersama Tentera Diraja Thailand, Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) dan pejabat Gabenor Songkla.
Beliau berkata, pihak berkuasa Thailand menyediakan aset tambahan serta sokongan penuh sepanjang misi mencari dan menyelamat rakyat Malaysia.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada para petugas Thailand dan pasukan penyelamat negara yang membantu semasa operasi penyelamatan ini.”
“Dari pihak Malaysia pula, operasi penyelamatan tidak dapat dijalankan tanpa kehadiran dan bantuan besar daripada NGO serta kumpulan sukarelawan Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fahmi menzahirkan penghargaan kepada Presiden Persatuan Hotel Songkla, Dr. Sitthipong Sitthiprapha bersama pasukannya yang menjadi antara pihak terawal turun ke lapangan untuk memberi bantuan makanan kepada pelancong terjejas.
“Pada hari kedua, aset yang disediakan Dr Sitthipong turut digunakan untuk misi pemindahan rakyat Malaysia selepas paras air mula surut, membolehkan ramai dipindahkan dengan selamat.”
Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual berkaitan pemindahan rakyat Malaysia di Hat Yai secara dalam talian bersama RTM dan BERNAMA, hari ini.
Sementara itu, Kementerian Luar kini memperluas pemantauan bencana ke wilayah Sumatera, Indonesia, susulan situasi banjir di Hat Yai yang semakin terkawal.
Rakyat Malaysia yang merancang perjalanan ke negara jiran diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan, memandangkan risiko bencana banjir boleh berlaku semasa musim tengkujuh.