KUALA LUMPUR, 3 Disember – Pindaan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Akta 244) memberi tumpuan kepada pembangunan dan penyusunan industri kandungan komersial, bukan kawal selia kandungan, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Menurut beliau, kawal selia kandungan masih berada di bawah dua badan berasingan iaitu Lembaga Penapis Filem (LPF) bagi kandungan filem dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui penguatkuasaan Kod Kandungan bagi kandungan digital serta dalam talian.
Katanya, pindaan yang dibentangkan pada petang ini memberi tumpuan kepada tiga penambahbaikan utama, iaitu pembangunan industri kandungan, terutamanya dalam aspek aktiviti penggambaran dan penerbitan kandungan secara komersial.
“Penambahbaikan tersebut meliputi pengeluaran Surat Perakuan Penggambaran (SPP), pelaksanaan pensijilan Made in Malaysia bagi iklan tempatan serta pendaftaran aktiviti penggambaran bagi tujuan pemantauan dan perancangan dasar yang lebih teratur,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, langkah tersebut dilaksanakan bagi memperkemas struktur industri perfileman, melindungi kebajikan kru dan pekerja produksi tempatan.
“Pendekatan ini memastikan industri ini terus berkembang dalam persekitaran yang teratur, profesional dan berdaya saing tanpa mengganggu ruang kreatif para penggiat seni.
“Ini juga menggalakkan pembangunan kemahiran dan mewujudkan ekosistem perniagaan yang mampan dalam sektor kreatif,” tambahnya.
Teo berkata pindaan itu turut memperkenalkan takrifan baharu “filem” yang kini merangkumi kandungan digital di platform penstriman, media sosial dan kandungan dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), selaras perkembangan teknologi semasa.
“Pindaan ini dirangka berdasarkan maklum balas penggiat industri melalui siri libat urus, town hall dan rundingan bersama penyedia perkhidmatan penstriman serta persatuan perfileman,” katanya.