Pindaan Akta FINAS bukti komitmen kerajaan perkukuh industri filem

KUALA LUMPUR, 5 Disember – Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 (Akta 244) yang diluluskan di Dewan Rakyat dilihat sebagai usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus industri perfileman, selain memastikan kebajikan tenaga kerja industri perfileman terus terpelihara.

FINAS menerusi kenyataan memaklumkan bahawa, pindaan tersebut menyelaras Akta FINAS 1981 dengan keperluan semasa industri kreatif, termasuk perkembangan teknologi baharu dan penghasilan kandungan melalui platform digital over-the-top (OTT).

“Pindaan itu turut memastikan dasar dan peraturan subsidiari badan tersebut lebih responsif serta menyokong pembangunan jangka panjang industri perfileman negara.

“Penyedia platform video-on-demand (VOD) kekal dikecualikan daripada pelesenan, namun aktiviti produksi dan pengedaran filem masih tertakluk kepada kawal selia FINAS bawah Akta 244,” menurut kenyataan itu.

Aspek pemameran hanya akan dilaksanakan sekiranya wujud pelesenan VOD bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Pindaan ini meliputi pelbagai bentuk produksi komersial seperti drama, dokumentari, animasi dan iklan yang diterbitkan untuk TV, satelit, pawagam, OTT serta media sosial,” tambah kenyataan itu.

Melalui pindaan berkenaan, FINAS akan memperincikan perlindungan tenaga kerja melalui peraturan subsidiari merangkumi kebajikan kru produksi, kontrak standard, jaminan pembayaran dan keselamatan kerja, termasuk perlindungan insurans seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

FINAS menegaskan bahawa pindaan tersebut bukan bertujuan menyekat kreativiti penggiat seni, sebaliknya memastikan ekosistem produksi di negara ini lebih selamat, tersusun dan profesional.

“Kelulusan RUU ini diyakini dapat memperkukuh peranan FINAS sebagai peneraju industri perfileman yang lebih moden, telus dan berintegriti, seiring perkembangan teknologi serta keperluan perfileman semasa,” menurut kenyataan itu.

Hey there! Ask me anything!