ALOR SETAR, 8 Disember– Langkah pembayaran segera peruntukan bayaran balik cukai kepada rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad (7 Disember), menunjukkan kepekaan kerajaan dalam memastikan hak rakyat terus terbela.
Di Kedah, usaha kerajaan itu disambut baik terutamanya dalam kalangan peniaga serta pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Peniaga yang ditemui menyifatkan langkah kerajaan meningkatkan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion sebagai penghargaan kepada pembayar cukai yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.
“Saya ucapkan banyak terima kasih kepada PMX kerana prihatin dengan nasib kami. Dengan bayaran balik lebihan cukai yang dibuat segera ini, kami sangat rasa dihargai. Jadi saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas usaha yang PMX lakukan,” kata usahawan, Shahbani Saad.
“Dalam konteks ini, saya ucapkan terima kasih. Saya sendiri pernah buat konten tentang isu lebihan cukai PCB dulu, bila ada lebihan hujung tahun, bayaran dibuat segera.
Tapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seperti pengalaman saya pada 2023 dan 2024, saya terpaksa buat rayuan. Untuk 2023, rayuan saya telah didengari dan bayaran dibuat. Bagi 2024, masih belum dibayar.
Jadi, apabila PM umumkan bahawa bayaran akan dibuat segera mulai Isnin ini, saya amat berterima kasih kepada beliau,” kata Datuk Dr. Ismail Salleh, pemilik pusat hemodialisis swasta.
Selain itu, langkah kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta bermula tahun depan turut meringankan beban PKS.
“Terima kasih kepada PMX kerana memberi ruang kepada peniaga kecil seperti kami. Dengan kenaikan nilai ambang daripada RM500,000 kepada RM1 juta, kami tidak lagi perlu menggunakan sistem invois elektronik yang agak rumit untuk peniaga kecil,” tambah Shahbani.
“E-invois ini satu kos. Jadi, bila kerajaan longgarkan keperluan itu untuk mereka yang berpendapatan bawah RM1 juta, kos tersebut boleh digunakan untuk keperluan lain.
Dalam keadaan rakyat berdepan kos sara hidup yang tinggi, duit itu lebih baik kembali kepada keluarga dan perbelanjaan harian, bukan digunakan untuk e-invois,” ujar Datuk Dr. Ismail.

