PM lancar SPINE perkukuh integriti, tadbir urus sektor awam

PUTRAJAYA, 5 Disember – Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) dilancarkan bertujuan memperkukuh ekosistem integriti, mempertingkat tadbir urus, dan memerangi rasuah dalam sektor awam melalui penilaian kendiri organisasi atau Integrity Health Check.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia menawarkan pendekatan komprehensif berasaskan data bagi mengenal pasti jurang kelemahan, melaksanakan intervensi pembetulan, dan memberikan pengiktirafan kepada organisasi yang menunjukkan prestasi unggul.

Selain itu ia dijangka meningkatkan pematuhan integriti, mengurangkan risiko salah guna kuasa dan rasuah, serta mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

Ia sekali gus menyokong hasrat Kerajaan MADANI untuk memperkukuh struktur tadbir urus, meningkatkan ketelusan, dan memperkasa budaya akauntabiliti dalam pentadbiran sektor awam. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan usaha Malaysia untuk mencapai kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.

Majlis pelancaran pada Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (HARA) 2025 itu berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, bersempena dengan program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku.

Inisiatif strategik baharu itu dibangunkan Institut Integriti Malaysia (IIM), dengan keunikan untuk memastikan pelaksanaan mesra organisasi, termasuk intervensi bersasar pada komponen kritikal sahaja, penyertaan percuma, dan pengiktirafan sah selama dua tahun bagi organisasi berprestasi unggul.

SPINE menawarkan pendekatan komprehensif berasaskan data bagi mengenal pasti jurang kelemahan, melaksanakan intervensi pembetulan, dan memberikan pengiktirafan kepada organisasi yang menunjukkan prestasi unggul.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Setiausaha Negara,Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),Tan Sri Azam Baki.

Selain pelancaran SPINE, IIM turut menyertai pameran MADANI di Dataran Putrajaya, menawarkan pelbagai aktiviti interaktif seperti Kahoot Integriti, Teka Silang Kata Integriti, Individual Integrity Profile (IIP), Wheel of Fortune, dan Pertandingan Kata-kata Integriti, bagi mendidik pengunjung tentang kepentingan integriti secara kreatif dan inklusif.

Hey there! Ask me anything!