LIMBANG, 7 Disember – Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk ke kebun durian di Kampung Merasam Darat Limbang sejak semalam (Sabtu).
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa Renggi Minggat 70 tahun difahamkan keluar dari rumah pukul 7.30 pagi dan gagal pulang ke rumah sehingga hari ini.
“Usaha pencarian sedang dilakukan oleh pihak berkuasa bersama penduduk kampung bagaimanapun masih gagal menemukan warga itu.
“Kita memohon kerjasama orang awam untuk bersama-sama mengesan dan menjejaki mangsa hilang yang dilaporkan hilang,” menurut kenyataan itu hari ini.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan mangsa, boleh menghubungi Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 085-211490 dan IPD Limbang menerusi 085-211466.

