Port Dickson kembali tenang, lebih ramai penduduk terjejas dibenar pulang

PORT DICKSON, 29 November – Cuaca di Port Dickson kembali tenang selepas dilanda Ribut Tropika Senyar, sekali gus menyaksikan jumlah penduduk terjejas di daerah itu menurun daripada 200 kepada 137 orang setakat hari ini.

Komander Operasi Kanan (KOK) Bomba Port Dickson, Azlan Hassan, berkata keadaan yang semakin pulih membolehkan sebahagian penduduk pulang ke rumah masing-masing bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Untuk hari ini kita mendapati, Alhamdulillah kesan daripada Ribut Tropika Senyar cuaca semakin elok. Kita dapati ada keluarga terjejas yang diberikan kebenaran untuk balik ke rumah masing-masing untuk membuat pembersihan dan kerja-kerja yang berkaitan. Data yang diterima, semalam 200 orang dan hari ini 137 orang,” katanya.

Azlan turut memaklumkan, pihaknya menerima 10 panggilan berkaitan pokok tumbang sepanjang kejadian dan operasi pembersihan dijalankan sejak semalam.

“Kesan daripada ribut tersebut, kita mendapat panggilan yang cukup banyak. Balai Port Dickson sahaja menerima lebih kurang 10 panggilan pokok tumbang. Kerja-kerja pembersihan itu mengambil masa kira-kira 12 jam secara keseluruhan. Untuk tanah runtuh, hanya runtuhan kecil yang menjejaskan penduduk, manakala jalan raya tidak terjejas kecuali akibat pokok tumbang,” jelasnya lagi.

Sementara itu, tinjauan kru RTM di beberapa kawasan mendapati kerja-kerja pembersihan sedang giat dilaksanakan, dan penduduk turut berkongsi pengalaman mereka berdepan situasi cemas tersebut.

“Rumah hari ini agak teruk dengan lumpurnya. Pagi tadi baru surut… ini tengah nak kemas-kemas barang. Barang perabot dalam rumah semua habislah,” kata Rozaidi Khairudin.

“Malam tu memang dah dapat tahu hujan lebat, kita berjaga-jaga, naikkan barang. Lepas tu air naik lagi tinggi, yang itu tak dapat selamatkan. Benda penting macam surat beranak, geran tanah dapatlah diselamatkan. Kain baju semua habislah,” jelas Roziah Lebai Ibrahim.

Hey there! Ask me anything!