PPS Dewan Seri Nakhoda, Sabak Bernam catat jumlah tertinggi penduduk terjejas banjir

SABAK BERNAM, 29 November – Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Nakhoda mencatatkan jumlah penduduk terjejas banjir tertinggi di daerah Sabak Bernam, melibatkan 143 orang daripada 48 keluarga.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, sehingga kini 31 PPS masih beroperasi di seluruh negeri, termasuk tiga PPS di daerah berkenaan.

“Di daerah Sabak Bernam ini sahaja ada tiga PPS, iaitu Dewan Seri Sekinchan, Dewan Seri Bernam dan juga Dewan Seri Nakhoda. Jadi antara tiga PPS ini, Dewan Seri Nakhoda mencatatkan jumlah yang teramai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Perasmian Dewan Serbaguna Terbuka Kampung Tebuk Mufrad, di sini, pada Sabtu.

Menurut Datuk Rizam, bantuan makanan serta sumbangan kewangan telah pun disalurkan kepada penduduk terjejas yang ditempatkan di semua PPS terlibat.

“Dalam masa yang sama juga, setiap penduduk terkesan boleh membuat aduan terus ke balai polis yang disediakan di Dewan PPS, untuk memudahkan kita menyalurkan bantuan di bawah Pejabat Daerah, Pusat JKM serta Pusat Zakat kepada mangsa-mangsa ini,” tambahnya.

Orang ramai turut dinasihat khususnya di Selangor, supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap laporan bencana serta bersiap siaga menghadapi keadaan cuaca tidak menentu pada masa ini.

Hey there! Ask me anything!