PRABN keluarkan amaran banjir di Tumpat mulai Khamis

KOTA BHARU, 23 November – Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan “Amaran Banjir” bagi beberapa kawasan di Tumpat, yang dijangka mengalami banjir bermula Khamis dan Jumaat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • PRABN mengeluarkan amaran banjir bagi beberapa kawasan di Tumpat bermula Khamis dan Jumaat.
  • Paras air sungai diramal meningkat dan melebihi aras bahaya, menjadikan banjir berkemungkinan berlaku.
  • Kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Kelantan dan Sungai Golok berisiko tinggi.
  • Beberapa kampung rendah sekitar Sungai Golok disenaraikan sebagai kawasan dijangka terjejas.
  • Penduduk dinasihatkan berwaspada, ikut arahan agensi pengurusan bencana dan rujuk PublicInfoBanjir.

PRABN dalam kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan status paras air sungai yang diramal meningkat dan melebihi aras bahaya, banjir berkemungkinan berlaku di tiga lokasi dalam jajahan berkenaan.

“Antara kawasan berisiko ialah kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Kelantan meliputi Padang Rokma, Beach Temalang dan Chenderong Batu.

“Turut dijangka terjejas ialah kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Golok di Kampung Kok Kebit dan Taman Sri Bayu,” menurut kenyataan PRABN.

Seterusnya, banjir dijangka berlaku di beberapa kampung rendah sekitar Sungai Golok termasuk Kampung Pak Keral, Kampung Kok Bedullah, Kampung Nechang, Kampung Pauh Sebanjar, Kampung Neting, Kampung Tujuh, Kubang Sawa, Kajang Sebidang, Telok Jering, Naga Ibu, Pisau Raut, Bendang Pak Yong dan Simpangan.

Sehubungan itu, PRABN dalam kenyataan itu menasihatkan semua penduduk di kawasan terbabit supaya berwaspada, mengikuti arahan agensi pengurusan bencana dan mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang PublicInfoBanjir serta Facebook @PublicInfoBanjir. -BERNAMA

Hey there! Ask me anything!