Program Kampung Angkat MADANI: Dewan Tengku Zafrul Aziz jadi pemangkin pembaharuan Tebuk Mufrad

SABAK BERNAM, 29 November – Penyerahan sebuah Dewan Serbaguna Terbuka yang dinamakan Dewan Tengku Zafrul Aziz kepada Kampung Tebuk Mufrad diharap dapat meningkatkan sektor pelancongan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada komuniti setempat.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Saya berharap impaknya kelak bukan hanya dari sudut pembangunan sosial dan sahsiah penduduk saja, bahkan tinggi lagi harapan saya agar ia dapat menjana dan melestarikan ekonomi penduduk Kampung Tebuk Mufrad ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Dewan Serbaguna Terbuka Kampung Tebuk Mufrad, di sini, pada Sabtu.

Projek berkenaan merupakan sebahagian inisiatif Program Kampung Angkat MADANI, melibatkan peruntukan RM2.35 juta dan dibina di atas tanah wakaf Masjid Tebuk Mufrad seluas 2,600 meter persegi.

Program itu turut melibatkan kerjasama strategik MITI dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta 14 agensi di bawah MITI bagi menyumbang kepada penambahbaikan infrastruktur fizikal dan program pembangunan insan untuk penduduk setempat.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata semua agensi terlibat telah melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan merangkumi penyediaan kemudahan, latihan, program keusahawanan dan sokongan sosial bagi memperkukuh pembangunan komuniti kampung tersebut.

“Kepada seluruh penduduk Kampung Tebuk Mufrad, terimalah dewan ini sebagai tanda kasih sayang dan kenang-kenangan MITI kepada semua. Gunakan dan jagalah ia sebaik-baiknya,” tambahnya.

Majlis sama turut menyaksikan pelancaran buku hasil nukilan penduduk Kampung Tebuk Mufrad, yang mendokumentasikan perjalanan serta pengalaman komuniti sebagai sebahagian daripada Program Kampung Angkat MADANI MITI.

Hey there! Ask me anything!