KUALA LUMPUR, 5 Disember – Tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI memperlihatkan pelbagai usaha pembaikan merangkumi pengukuhan ekonomi, kebajikan rakyat serta penyusunan semula hala tuju pembangunan negara.
Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku merupakan platform terbuka untuk rakyat melihat hasil kerja Kerajaan MADANI dan menilai perubahan yang sedang dilaksana.
“Berlangsung di Dataran Putrajaya bermula hari ini hingga Ahad, saya mengajak orang ramai untuk hadir bersama-sama keluarga serta rakan-rakan bagi merancakkan gelombang usaha MADANI.
“Kehadiran anda, bukan sekadar untuk melihat pencapaian, tetapi menyatakan pandangan, kritikan dan harapan, serta memahami arah tuju kita sebagai sebuah negara yang bertapak atas nilai ihsan, kekuatan ekonomi juga keadilan untuk semua,” katanya.
Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku, kesinambungan tradisi pelaporan tahunan Kerajaan MADANI kepada rakyat, susulan penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada 2023 dan Program Dua Tahun Bersama Kerajaan MADANI (2024).
Program berkenaan, platform penting menampilkan pencapaian, kemajuan dasar serta hasil reformasi Kerajaan MADANI secara telus dan mudah difahami rakyat.