Program Saintis Muda: Pelajar B40 Pulau Pinang wakili Malaysia ke Tokyo

KEPALA BATAS, 6 Disember – Seramai 16 pelajar B40 daripada empat buah sekolah menengah di Pulau Pinang bakal mewakili Malaysia ke Science Castle World 2025 di Tokyo, Jepun, yang berlangsung pada 11 hingga 14 Disember ini.

Penyertaan mereka adalah hasil kejuaraan pertandingan sama peringkat Asia di Cyberjaya baru-baru ini, direalisasikan menerusi Program Saintis Muda yang diterajui Usains Holding Sdn Bhd dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Barn Owl Research Group (BORG).

Kesemua pelajar menjalankan penyelidikan ekologi secara praktikal, khususnya berkaitan penghunian burung pungguk, bagi menyokong usaha mewujudkan ekosistem yang lestari.

Pengerusi Usains Holding Sdn Bhd, Datuk Dr Hafsah Hashim berkata kejayaan itu amat signifikan memandangkan 90 peratus peserta lain merupakan pelajar daripada sekolah elit dan antarabangsa.

0612 PP SAINTIS MUDA B40 2Kesemua pelajar menjalankan penyelidikan ekologi secara praktikal, khususnya berkaitan penghunian burung pungguk/Foto RTM

“Keputusannya amat membanggakan kerana dalam lima kotak pemantauan, kita dapat menyaksikan enam musim penghunian 100 burung pungguk, dan melalui penyelidikan ini, pelajar dapat memainkan peranan mereka dalam menjaga ekosistem di Malaysia,” katanya selepas program itu di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, Bertam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata program tersebut secara tidak langsung menekankan pembinaan karakter melalui sesi pembentangan akademik.

“Pulau Pinang baru mencapai 54 peratus dasar 6040 sains, bermakna kita perlu menggalakkan lebih ramai anak-anak berminat dalam bidang sains. Program kolaboratif bersama USM ini bukan sahaja menekankan aspek akademik, malah keyakinan pelajar dalam membuat pembentangan,” jelasnya.

Empat buah sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn, SMK Bukit Gambir, SMK Sungai Nibong dan SMK Lelaki Methodist.

Hey there! Ask me anything!